GV 3: Peminat Dari Afrika Sanggup Datang Malaysia Demi Azharina

1 November 2016. 3.10 PM
40,809
Hiburan
GV 3: Peminat Dari Afrika Sanggup Datang Malaysia Demi Azharina

Lima orang peminat penyanyi Azharina Azhar dari benua Afrika sanggup datang ke Malaysia bagi menyokong Azharina dalam konsert ketiga GegarVaganza 3 (GV 3).

Dalam konsert yang bertemakan Ada Bran, Azharina membawakan lagu nyanyian asal Bob Marley, No Woman No Cry.

“Saya sangat terharu kerana tiga orang peminat saya dari Nigeria dan dua orang peminat dari Jamaica sanggup datang untuk menyaksikan persembahan saya menyampaikan lagu ini. Selain itu, sokongan peminat saya saban minggu juga menjadi kekuatan saya untuk melakukan yang terbaik.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana sudah tiga minggu konsert, saya berada di kedudukan tiga teratas. Mungkin ini merupakan rezeki anak saya. Saya hanya jalankan tugasan yang diberikan sehabis baik untuk menghiburkan semua pihak,” kata Azharina kepada Astro Gempak.

Menggayakan busana unik yang bertepatan dengan tema lagu No Woman No Cry, baju dan aksesori yang digayakan oleh Azharina berharga RM300,000.

“Busana unik ini baru sahaja siap sebelum konsert bermula. Baju rekaan Razman Razmi ini sangat istimewa dan bernilai RM30,000. Anting-anting yang saya pakai pada malam ini bernilai RM100,000. Sepatutnya, saya menggayakan seutas rantai tapi tidak dibenarkan produksi.

“Secara keseluruhan, imej yang saya bawakan malam ini bernilai RM300,000. Saya bersyukur kerana banyak pihak sudi menaja saya semenjak saya mula menyertai GV 3. Semoga semuanya dimurahkan rezeki,” katanya lagi.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Konsert minggu keempat GV 3 bakal membawa tema DuetVaganza dan 10 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen