Pemenang tempat ketiga Ceria Pop Star musim pertama, Farisha Irish, 18, kini tampil dengan single terbarunya berjudul ’Tak Malu’ ciptaan komposer terkenal, Mike Chan dan penulis lirik Omak K.

‘Tak Malu’ merupakan sebuah lagu bergenre pop santai sesuai dengan imej dan usia Farisha yang sedang meningkat remaja.

Melodinya yang bersahaja sealiran dengan selera pendengar masa kini.

Bait-bait liriknya menceritakan tentang perasaan seorang gadis remaja yang sering memerhatikan lelaki idamannya dan ‘Tak Malu’ untuk meluahkannya walaupun mungkin hanya bertepuk sebelah tangan.

Farisha akui teruja dengan single pertama ini dan berharap agar peminat memberi sokongan penuh terhadapnya.

”Lagu ini bukanlah tentang perempuan yang tergila-gilakan lelaki, tetapi lebih kepada sifat keberanian untuk meluahkan perasaan.

”Dan pada pendapat saya, wanita masa kini lebih bersifat terbuka dan berani untuk mengekpresikan apa yang mereka rasa.

”Saya juga meminta agar peminat memberi sokongan penuh terhadap lagu ini dan berharap agar diri saya dapat berdiri sama tinggi dengan penyanyi hebat lain suatu hari nanti,” ujarnya teruja.

‘Tak Malu’ boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.

“Saya sangat bersyukur dan amat berterima kasih kepada pihak Sony Music Entertainment Malaysia kerana mempelawa saya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar mereka. Farisha berharap dengan single pertama ini, ia dapat memperkenalkan diri Farisha sebagai penyanyi baru di persada muzik tanahair,” katanya.

Selain dikurniakan bakat semulajadi dalam bidang nyanyian, mantan pengacara rancangan kanak-kanak berbentuk edutainment ‘Teng Teng’ dan ‘ChiChi & ChaCha’ ini turut berlakon menerusi drama bersiri ‘Nujum Kenit’ dan telemovie ‘Tiba Masanya’ serta pakar bermain piano.

Teks oleh : Izzat Ridzwan