Pelakon Yana Samsudin memberikan fokus terhadap bidang pengacaraan dan bisnes yang dijalankan di bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, sepanjang bulan Ramadan ini, saya menjalankan tugas sebagai pengacara untuk program bual bicara Bismillah Ad-Duha yang disiarkan di Astro Oasis dan Astro Maya HD.

“Program tersebut menampilkan saya bersama Diana Amir, Fakhrul UNIC dan beberapa pengacara lain, Program itu bersiaran setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu pada jam 9.00 pagi.

“Saya juga terlibat dalam program Resepi Sunnah sebagai pengacara disamping PU Taha. Rancangan ini memaparkan resepi menarik mengikut sunnah dan disiarkan di Astro Oasis dan Astro Maya HD pada setiap Jumaat jam 7.30 malam,” kata Yana kepada Astro Gempak.

Ibu kepada Aisy Mateen ini juga tetap meneruskan tradisi jualan biskut raya seperti yang dijalankan tahun-tahun sebelum ini.

“Saya juga meneruskan tradisi bulan Ramadan tahun-tahun sebelum ini dengan membuat dan menjual biskut jenama saya sendiri, Yana Super Cookies. Peniagaan biskut ini bermula semenjak tahun 2010 dan sudah mempunyai peminat tersendiri.

“Saya juga meneruskan perniagaan tudung, Ayana Hijab seperti biasa. Saya juga ada mengeluarkan hijab istimewa sempena kedatangan Hari Raya. Walaupun kedengaran agak sibuk, saya rasa bersyukur kerana ini semua merupakan rezeki untuk saya dan keluarga,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal