Bekas bintang Lawak Solo, Fikry Ibrahim mengakui dia kini sedang mencabar diri melakukan perkara yang dia takutkan selama ini.

Bermula dengan bidang komedi, Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ibrahim kini melebarkan sayapnya dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

Fikry baru sahaja selesai mengacarakan program realiti Gema Gegar Vaganza dan lakonannya dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella sedang ditayangkan di Astro Ria dan Astro Ria HD.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk bergelar pengacara dan pelakon. Sejujurnya, saya rasa gementar kerana perkara tersebut membuatkan saya takut.

“Saya bermula sebagai pelawak dalam Lawak Solo, kini saya mencuba nasib sebagai pengacara dan pelakon. Saya mencabar kebolehan diri sendiri dengan menceburkan diri dalam bidang baru. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” kata Fikry kepada Astro Gempak.

Tambah Fikry, dia juga bersyukur dengan kehadiran rezeki yang tidak diduga selepas tamatnya program Lawak Solo.

“Selepas tamat Lawak Solo, Danial sudah bergelar penyampai radio Era. Mad Sabah juga terpilih menjadi seorang penyampai radio Era Sabah. Saya sendiri tidak dapat menjangka apa yang bakal saya ceburi selepas program Lawak Solo selesai.

“Alhamdulillah, rezeki datang dalam pelbagai cara dan semuanya tidak dapat saya duga. Bidang pengacaraan dan lakonan saya jadikan batu loncatan untuk menyambung perjalanan saya dalam bidang seni,” katanya lagi.

Jangan lupa saksikan Hero Seorang Cinderella yang bersiaran bermula 22 Mei, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Gunakan hashtag #HeroSeorangCinderella untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal