Pelakon Intan Ladyana akui mencabar apabila perlu menjalani penggambaran drama bersiri Semusim Rindu sepanjang Ramadan ini.

Intan berkata seperti pengalamannya berlakon ketika bulan puasa sebelum ini dia akan berasa lebih letih berbanding bulan lain.

"Terus-terang sebenarnya saya tidak suka berlakon di bulan puasa kerana kalau boleh dalam bulan inilah saya mahu berehat dan perbanyakkan amal ibadah.

"Tetapi tidak tahu bagaimana saya boleh terlepas pandang melihat tarikh penggambaran drama ini dan terpaksa menjalani penggambaran pada bulan puasa juga.

"Seperti yang saya pernah lalui sebelum ini, berlakon di bulan puasa penatnya bertambah-tambah dari hari biasa.

"Apa yang boleh saya katakan ia memang memenatkan," katanya kepada Astro Gempak.

Semusim Rindu sedang ditayangkan di Astro Prima (105) dan Maya HD (135) setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Pun begitu, Intan memberitahu apa yang menyeronokkan apabila dapat berbuka beramai-ramai dengan kru produksi.

"Jika penggambaran di bulan puasa, memang kita tidak sempat hendak balik untuk lakukan persiapan berbuka sebagainya.

"Jadi bila seharian penat bekerja akhirnya dapat berbuka beramai-ramai dengan kru produksi tu seronok dan meriah juga," katanya lagi.

Selain Intan, Semusim Rindu turut dibintangi pelakon lain seperti Ben Amir, Haliza Misbun, Elly Ariffin dan ramai lagi.

Teks oleh; Syafiqah Jalal