Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad bakal mengerjakan ibadah Umrah buat kali keempat.

Lebih mengujakan Nabil sekali lagi dapat ke Mekah pada 10 malam terakhir Ramadan dan dia sendiri tidak menyangka Allah memberikannya rezeki sekali lagi untuk ke sana pada waktu tersebut.

Nabil berkata sukar untuknya menggambarkan perasaan berada di tanah suci kerana ia istimewa dan membuatkan sesiapa sahaja terpanggil untuk kembali berkunjung ke sana.

"Tiga kali saya buat Umrah sebelum ini pun rezeki saya dapat pergi pada 10 malam terakhir Ramadan dan Alhamdulillah tahun ini pun sekali lagi dapat peluang sama.

“Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata bila tiba ke tanah suci dan rasanya siapa yang pernah ke sana pasti faham perasaan saya.

“Apa yang boleh saya katakan memang rasa ‘gian’ nak ke sana setiap tahun,”katanya.

Nabil ditemui pada sidang media pelancaran filem The Secret Life of Pets versi bahasa Malaysia yang diadakan di Hotel St. Regis Kuala Lumpur, Khamis.

Selain Nabil, filem yang bakal ditayangkan di saluran HBO pada 25 Jun depan bakal menampilkan suara selebriti seperti Nora Danish, Sherry Alhadad, Che Puan Juliana Evans, Fahrin Ahmad, Mark Adam, Hisyam Hamid dan Zarul Husin.

Dalam pada itu, Nabil berkata, pemergiannya ke Mekah kali ini lebih istimewa apabila isterinya, Nazirah Ayub akan menyertainya buat kali pertama.

“Tahun lepas memang saya pernah bawa isteri ke sana tetapi bukan untuk menunaikan umrah semata-mata, sebaliknya turut menjalani penggambaran program Perjalanan Haji Nabil.

“Jadi tahun ini jadi lebih istimewa kerana kami berdua ke sana untuk tunaikan Umrah tanpa terlibat dengan mana-mana program.

"Bagaimanapun anak-anak kami tidak bawa bersama kerana bimbang keselamatan mereka memandangkan waktu itu memang ramai jemaah," katanya.

Pasangan itu bakal berangkat ke tanah suci pada 14 hingga 24 Jun ini.

Dalam perkembangan lain, Nabil berkata, dia teruja sekali lagi diberi peluang oleh HBO meminjamkan suara untuk filem The Secret Life of Pets.

Sebelum ini Nabil pernah meminjamkan suaranya untuk filem Jurassic World yang ditayangkan pada Aidilfitri tahun lalu.

Teks oleh: Mya Amri