Pelakon yang kini sedang mencipta nama di Hollywood, Priyanka Chopra, telah menerima pelbagai kritikan daripada netizen apabila tampil seksi ketika bertemu perdana menteri India.

Menerusi sekeping gambar yang dikongsi di akaun Instagram (IG) miliknya, Priyanka berkata, dia sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan Narendra Modi ketika berada di Berlin.

Rata-rata peminat kecewa dengan pakaian yang digayakan Priyanka dan dianggap tidak menghormati pemimpin India tersebut.

"Tidak dinafikan kamu merupakan seorang selebriti yang terkenal namun cuba belajar untuk menghormati orang didepan. Lihat bagaimana cara kamu duduk di depan Perdana Menteri Modi.

"Kamu sedang duduk dengan Perdana Menteri negara kami jadi kamu seharusnya menutup kaki dan memakai pakaian yang lebih sopan.

"Kamu merupakan inspirasi kepada anak muda di India kerana pencapaian kerjaya di luar negara dan kamu sepatutnya lebih tahu bagaimana ektika berpakaian ketika bertemu pemimpin," kata peminatnya menerusi ruangan komen.

Kebanyakan mereka yang mengecam Priyanka mahu aktres tersebut lebih peka selepas ini.

Entri tersebut telah menerima 5,133 komen dan 775 ribu 'likes'.

Oleh: Rozaimi Zubaidi