Aksi memandu kenderaan melawan arus lalu lintas dirakamkan sekali lagi membabitkan kereta jenis Myvi berwarna kelabu.

Menurut info rakaman video yang dikeluarkan di laman rasmi Facebook Info Roadblock Jpj/Polis pagi tadi, kejadian itu berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Kulai, Johor menghala utara.

Rakaman video itu memaparkan kereta Myvi tersebut dipandu dalam lorong bertentangan dalam keadaan laju.

Individu yang merekodkan video itu beranggapan pemandu tersebut gila dan membahayakan pengguna lebuh raya lain.

"OKU tak buat macam ini, ini kerja orang gila," kata individu dalam video itu.

Rakaman selama 1 minit 27 saat itu terhenti apabila individu yang merakamkan video terbabit memberhentikan kenderaannya.



Video itu telah ditonton oleh lebih 250,000 kali dan dikongsikan lebih 4,000 pengguna Facebook setakat ini.

Ada pengguna yang menyalahkan perlaksanaan laluan kontra yang dibuka bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

"Inilah kesan sampingan banyak sangat laluan kontra dibuka di bandaraya pada waktu puncak. Ini mesti kes lewat dan tak perasan laluan kontra sudah ditutup dan redah juga sampai tak tahu nak keluar," tulis Azli Ab.

Malah, ada juga cadangan agar pihak berkuasa menarik balik lesen pemandu kenderaan itu dan tidak terkecuali yang menyarankan agar tindakan lebih keras.

"Kalau dapat tangkap, kenduri ramai-ramai pemandu ini. Berjemaah terajang berirama! Sebab pemandu ini sudah melakukan cubaan membunuh pengguna jalan raya yang lain. Memang hukumnya tak setimpal dengan kesalahan meragut nyawa orang tak bersalah," cadang Smn Rockstudio.

"Kenderaan yang berada di lorong yang betul harus potong kereta yang lawan arus itu dan bagi hon serta menaikkan lampu berkali-kali untuk memberi amaran kepada kenderaan di depan, bolehlah kurangkan risiko kemalangan maut," tulis Zulhelmy Ash Shibly.

Info lanjut berhubung kejadian yang berlaku seterusnya masih belum dipastikan.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Info Roadblock Jpj/Polis