Tular di media sosial sepotong rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mendakwa seorang gadis diculik sekumpulan lelaki di tempat parkir Hotel Regalia Resident, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Difahamkan pada mulanya gadis itu ke lokasi kejadian bersama-sama seorang lelaki yang berpura-pura sebagai pelanggan untuk memberikan kad akses tempat letak kereta.

Namun dia tiba-tiba didatangi dua lelaki lain dan mengheretnya masuk ke dalam sebuah kereta Alza putih.


Selepas rakaman berdurasi 1 minit 22 saat itu kecoh diperkatakan di media sosial, pihak berkuasa tampil memberikan kenyataan.

Gadis itu sebenarnya bukan diculik tetapi telah ditangkap oleh bekas majikannya kerana kes mencuri!

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata wanita warga Indonesia berusia 23 tahun itu merupakan suspek kes curi di Gombak.

"Wanita itu (pembantu rumah) ditangkap oleh majikan lamanya dan diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak," katanya.

Wanita itu disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Bernama, Harian Metro