Pernah mengeluarkan kenyataan untuk bernikah pada hujung tahun ini, penyanyi Shiha Zikir belum melakukan sebarang persiapan perkahwinan.

“Saya pernah meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun. Tahun ini umur saya sudah menjejak angka 30. Saya memang mahu berkahwin pada hujung tahun ini, tetapi saya masih belum melakukan sebarang persiapan.

“Kursus kahwin pun belum lagi saya hadiri, apatah lagi persiapan seperti tempahan dewan, undangan dan sebagainya. Saya agak sibuk memberikan perhatian kepada karier nyanyian dan masih belum mempunyai kesempatan untuk melakukan persiapan.

“Jika tidak sempat untuk bernikah pada hujung tahun ini, saya sasarkan untuk berkahwin pada awal tahun hadapan. Insya-Allah, saya mohon doa semua pihak,” kata Shiha kepada Astro Gempak.

Tidak mahu menangguhkan perkara yang baik, Shiha sudah berkenalan dengan kekasihnya yang dikenali dengan nama Arul selama tujuh tahun.

“Tempoh tersebut merupakan jangka masa yang agak lama untuk kami berkenalan. Saya tidak mahu menangguhkan lagi, sama ada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

“Ibu saya juga sudah tidak sabar mahu melihat saya bernikah. Dia juga tidak mahu melihat saya berkawan terlalu lama dengan Arul dan mahu kami menoktahkan hubungan yang terjalin di jenjang pelamin. Semoga semuanya akan dipermudahkan,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal