Pelakon Mira Filzah mengakui dirinya tidak memilih slot tayangan untuk drama lakonannya asalkan watak yang ditawarkan menarik.

“Sejujurnya, saya tak memilih slot tayangan. Saya tidak hanya menerima tawaran untuk berlakon drama di waktu perdana (prime time) sahaja. Saya tak kisah untuk berlakon sesuatu drama asalkan watak yang ditawarkan menarik dan kuat.

“Jika saya ditawarkan satu karakter yang berbeza berbanding apa yang pernah saya bawakan sebelum ini, saya pasti menerimanya jika kena dengan jadual.

“Seperti contoh, saya pernah mengambil tawaran untuk menjayakan drama bersiri 3 Gadis Manis yang disiarkan di laman web Astro Gempak kerana wataknya yang menarik.

“Saya juga sedang terlibat dalam drama bersiri 12 episod berjudul Meh Sandar Pada Aku Raya yang bakal disiarkan di laman web Tonton,” kata Mira ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi raya MF Shawls baru-baru ini.

Mengukuhkan kedudukan sebagai ahli perniagaan, Mira mengeluarkan koleksi hijab istimewa yang tidak mudah untuk ditiru oleh orang luar.

“Untuk koleksi Hari Raya kali ini, saya menampilkan sesuatu yang berbeza. Saya mengekalkan identiti lukisan tangan menerusi teknik warna air.

“Rekaan eksklusif ini agak sukar ditiru kerana lukisan tangan ini tidak sama dengan yang lain. Jumlah pengeluaran juga terhad. Peminat boleh mendapatkannya menerusi laman Instagram @mf.shawls,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Mira bakal muncul dengan telefilem khas sempena kedatangan Syawal yang berjudul Jula Juli Bintang Cinta Raya yang bakal ditayangkan di Astro Citra. Selain Mira, telefilem tersebut menampilkan Zizan Razak, Adriana Adnan dan ramai lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal