Penyanyi Nabila Razali mengambil peluang sambutan Ramadan tahun ini untuk berehat di samping keluarga.

Bintang Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) ini baru sahaja muncul dalam drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati bersama aktor dan penyanyi Alif Satar.

“Setelah sibuk dengan aktiviti harian sebagai penyanyi dan pelakon, kedatangan bulan Ramadan memang saya nantikan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadan. Selain dapat menumpukan perhatian terhadap ibadah, saya juga mengambil peluang untuk berehat bersama keluarga,” kata Nabila kepada Astro Gempak.

Bakal muncul dengan single terbaru yang berjudul Pematah Hati, Nabila masih selesa untuk menyanyikan lagu yang mengangkat genre ‘happy pop’.

“Single terbaru saya akan menampilkan genre yang sama seperti lagu Cemburu. Saya selesa menyanyikan lagu genre rancak sebegini kerana sesuai dengan nada suara saya.

“Sejujurnya, saya juga teringin mahu menyanyikan lagu balada tapi buat masa ini, perkara itu belum dapat direalisasikan. Saya mahu fokus dahulu dengan genre ‘happy pop’ dan memperkuatkan latihan vokal sebelum menyanyikan lagu genre lain,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal