Selepas kali terakhir muncul dalam drama bersiri Cahaya Malaika pada tahun 2015, aktor Que Haidar akui amat merindui dunia lakonan.

Bagaimana pun Que Haidar atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 38, berkata dia perlu teguh dengan prinsipnya dalam bidang lakonan.

"Sebenarnya tipulah kalau saya kata tak rindu untuk berlakon, bukan tiada tawaran yang diterima.

"Cuma saya tetap pegang dengan prinsip saya iaitu saya akan lakukan sesuatu itu bila saya betul-betul suka," katanya kepada Astro Gempak.

Que akui kerana terlalu selektif, dia telah menolak beberapa tawaran berlakon.

"Bukan skrip yang diterima tidak bagus tetapi tidak kena dengan cita rasa saya sebagai seorang pelakon.

"Malah tawaran juga ada tetapi tiada skrip yang melekat dalam hati. Saya mahukan karakter yang wataknya pergi dengan lebih mendalam.

"Namun, setakat ini belum ada lagi,” katanya lagi.

Meksipun pernah terfikir untuk menerbitkan drama atau filemnya sendiri, namun Que perlu akur yang dia masih belum yakin untuk duduk di kerusi pengarah.

"Saya pernah terfikir untuk menerbitkan drama sendiri, malah pernah mencuba untuk menulis skrip beberapa kali tetapi tidak berjaya.

"Apatah lagi duduk di kerusi pengarah, buat masa ini saya belum yakin untuk menjadi ketua kepada seluruh produksi," katanya lagi.

Filem terakhir Que adalah Ophilia yang ditayangkan pada 2014.

Teks oleh: Syafiqah Jalal