Seorang peniaga telah meluahkan rasa kecewa selepas niat baiknya bersedekah dikritik netizen.

Pemuda tersebut yang dikenali sebagai Apek, 30, telah bermurah hati untuk memberikan minuman percuma kepada orang ramai di bazar Ramadan.

”Saya nak bersedekah setiap hari kerana nak kumpul pahala di bulan Ramadan.

”Namun saya tidak sangka ada orang yang mengecam dan memberi komen negatif terhadap niat baik saya ini,” katanya kepada Harian Metro.

Apek yang berniaga di bazar Ramadan di Johor Bahru mendapat idea untuk memberi minuman percuma apabila dia melihat gelagat kanak-kanak yang meminta pelbagai jenis air daripada bapa mereka.

”Suatu hari, saya terlihat ada sebuah keluarga besar bersama anak-anak mereka telah meminta pelbagai jenis air yang berbeza.

”Memang harga air di kedai saya hanya RM1, tetapi saya dapat bayangkan dengan jumlah anak yang ramai, sedikit sebanyak ia pasti pasti membebankan ibu bapa tersebut,” katanya.

Bermula dari peristiwa itu, Apek dan isterinya nekad untuk memberikan air percuma kepada pelanggan bazar tersebut.

Dia juga amat gembira dengan orang ramai yang sudi menerima pemberiannya dan cukup sekadar mereka ucapkan terima kasih.

Teks oleh : Izzat Ridzwan