Sudah menjadi kebiasaan kepada penyanyi malar segar Datuk Khadijah Ibrahim melakukan amal setiap kali menjelang Ramadan.

Setiap tahun, Khadijah akan menjemput golongan kurang bernasib baik dari rumah-rumah kebajikan untuk berbuka puasa di restorannya, Khadijah's Kitchen.

"Setiap kali bulan Ramadan memang saya akan menjemput semua golongan kurang bernasib baik seperti OKU (Orang Kurang Upaya), ibu tunggal, orang tua, anak yatim , anak-anak tahfiz dan sebagainya ke restoran saya.

"Kami akan menyediakan makanan untuk mereka hampir setiap hari sepanjang Ramadan.

"Setiap tahun pun kami sudah ada rumah-rumah kebajikan yang biasa datang ke restoran saya.

"Biasanya mereka akan beritahu awal supaya kami boleh sediakan tempat untuk mereka. Malah, kita akan tambah khemah di luar untuk mereka.

"Ia aktiviti yang saya lakukan setiap tahun dan ia amat menyeronokkan apabila dapat membantu golongan yang serba kekurangan," katanya kepada Astro Gempak.

Khadijah ditemui ketika pelancaran Persatuan Langit Biru dan sidang media larian amal, The Running Dead & Games Fun Run 2017 di restoran Khadijah's Kitchen, baru-baru ini.

Sementara itu, sebagai penaung Persatuan Langit Biru, Khadijah berharap dana larian amal itu dapat membantu golongan OKU dengan menyumbangkan sebuah bas untuk keperluan pengangkutan mereka.

"Saya perihatin terdahap golongan bernasib baik terutama apabila menyedari golongan OKU ini sebenarnya susah untuk bergerak ke satu destinasi ke destinasi.

"Lebih menyukarkan mereka apabila hendak ke hospital bagi menghadiri pemeriksaan kesihatan berjadual setiap bulan dan sebagainya.

"Jadi menerusi dana yang bakal dikumpul daripada larian amal ini saya harap dapat menyediakan sebuah bas yang mana boleh membawa mereka ke destinasi yang diperlukan," katanya lagi.

Selain golongan OKU, dana tersebut bakal disumbangkan kepada beberapa keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Acara larian sejauh 4km itu akan diadakan di Taman Metropolitan Kepong, pada 30 September ini.

Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM85 dan para peserta ditawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM10,000.

Teks oleh: Syafiqah Jalal