Penyanyi baru yang berasal dari Australia, Cassidy La Crème akui tidak mudah menyanyikan lagu bahasa Melayu kerana itu bukan bahasa utamanya.

Cassidy, 29, berkata dia mengambil kelas bahasa Melayu untuk memahami lirik dan memperbaiki cara sebutan ketika merakam single pertamanya, Seperti Dia.

“Saya sangat berbesar hati diberi peluang untuk merakamkan single Seperti Dia dan saya akui untuk menyanyi dalam bahasa Melayu bukanlah satu perkara yang mudah.

“Sebab itu saya fikir inisiatif mengambil kelas bahasa Melayu untuk memudahkan saya memahami lirik dan memperbaiki cara sebutan dengan lebih jelas.

"Untuk lirik, saya ambil masa selama tiga ke empat hari untuk faham dan bagi saya perkara itu penting untuk menghayati jalan cerita lagu tersebut.

“Saya tidak mahu hanya sekadar menghafal sahaja tetapi tidak faham lirik, bagi saya itu tanda tidak hormat kepada bahasa itu sendiri,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Terdahulu, Cassidy sebelum ini terkenal di Youtube dengan gelaran ‘Minah Salleh’ pandai menyanyi lagu Melayu dan lagu pertama yang dinyanyikan adalah Ombak Rindu.



Teks oleh: Mya Amri