Bekas isteri Orlando Bloom, Miranda Kerr, 34, telah sah berkahwin dengan Ketua Pegawai Eksekutif Snapchat, Evan Spiegel semalam.

Majlis itu berlangsung di kediaman peragawati itu di Brentwood, California, Amerika Syarikat dan hanya dihadiri oleh keluarga dan kenalan rapat pasangan itu.

Miranda dan Evan, 27, telah tinggal bersama di rumah agam itu sejak tahun lalu selepas membelinya daripada tuan rumah terdahulu iaitu pelakon Harrison Ford dengan harga AS$12 juta (RM51 juta).

Majlis itu dilaporkan hanya dihadiri oleh 50 jemputan khas yang diarahkan menaiki limosin hitam di satu lokasi sebelum dibawa ke kediaman itu.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran keluarga Miranda yang diterbangkan dari kampung halaman model itu di Gunnedah, New South Wales, Australia.

Pada majlis itu juga, Miranda sempat menyanyikan sebuah lagu nyanyian asal Shania Twain, You're Still The One.



Miranda dan Evan berkenalan di sebuah parti di New York tiga tahun lalu dan bertunang pada Julai 2016.

"Kami boleh meluangkan masa berjam-jam untuk bersembang tentang pelbagai perkara. Dia pendengar setia dan memahami saya.

"Evan juga seorang yang rajin bekerja dan menyokong saya mengembangkan perniagaan sendiri," cerita Miranda kepada majalah Paris Match tentang personaliti Evan.

Perkahwinan Miranda dan Orlando hanya berkekalan selama tiga tahun selepas mereka berkahwin pada Julai 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Flynn Christopher Bloom, 6.





Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: News.com