Foto Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membonceng motosikal petang semalam tanpa memakai topi keledar tular di media sosial.

Sememangnya tindakan itu membahayakan keselamatan dan melanggar kesalahan lalu lintas.

Namun, hal itu enggan dipanjangkan oleh mufti itu dan segera membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) malam tadi.

"Mungkin ada yang ternampak kami membonceng motosikal tanpa memakai helmet sebentar tadi.

"Sebenarnya, kami terlibat dalam program cerapan anak bulan Ramadhan di Menara Kuala Lumpur.

"Memandangkan jalanraya agak sesak dan tidak mahu menyusahkan penganjur dan kelancaran majlis dek terperangkap dalam jalanraya, keputusan diambil untuk membonceng motosikal ini.

"Justeru, kami ingin melafazkan permohonan maaf kepada pihak PDRM dan JPJ atas tindakan ini. Diharapkan tidak timbul salahfaham atas tindakan yang telah dilakukan," tulisnya di laman Facebook.

Hal itu dipuji oleh netizen yang menyifatkan tindakan mufti terbabit berbudi bahasa dan seharusnya dijadikan tauladan.

"Akhlakmu tuan mufti, menjadi contoh dan tauladan yg sangat baik, cantik dan berbudi, terima kasih kerana meneladani kami dengan akhlak yg sebegini," tulis Mohd Ifzad.

"Aku menyanjung tinggi akhlak & ilmu beliau.. Pernah bnyk kali mengikuti kuliah agama beliau.. Seorang yg tawaduk.. semoga aku dpt mengikuti akhlak mu, wahai tuan mufti," tulis Ahmad Shakir Jamaludin.

"Belum sempat kena kecam,dh minta maaf..ni la cth terbaik akhlak seorang mufti..bukan hanya thu bidaah membidaah org je," tulis Razini Yaacob.

"Terbaik, bersederhana dlm menjalankan amanah, namun harap ada Helmet dimasa hadapan, utk keselamatan tuan mufti. Salam ramadan," saran Ahmad Fitri.


Teks oleh: Amri Hassan