Meskipun drama bersiri Hero Seorang Cinderella (HSC) baru memasuki episod ketiga, tetapi lakonan Fazura dan Fattah sudah mula memberi kesan di hati peminat.

Malah, sebelum drama adaptasi novel tersebut ditayangkan peminat sudah mula mewujudkan hashtag #fattzura kerana sukakan gandingan kedua-dua pelakon utama itu.

Fenomena #fattzura bagaimanapun dilihat seakan-akan sama dengan drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot (SHMP) yang ditayangkan sebelum ini.

Hashtag #lofattah juga diwujudkan selepas peminat Neelofa dan Fattah bergandingan dan menganggap pasangan itu secocok sehingga ada yang mahukan mereka berkahwin.

Memandangkan dua-dua pelakon wanita yang digandingkan dengan Fattah ini menjadi tumpuan, apa kata kita kenali mereka dengan lebih dekat.

1. Kemunculan Awal
Meksipun Fazura dan Neelofa kini dikenali sebagai pelakon hebat namun kedua-duanya memulakan karier seni dalam bidang berbeza.

Nama Neelofa mula dikenali selepas dia muncul sebagai juara Dewi Remaja 2010 dan bakat lakonannya mula digilap menerusi filem Azura 2012. Selain menceburi bidang lakonan, Neelofa turut menyerlah dalam bidang pengacaraan.

Siapa sangka, Fazura memulakan kariernya sebagai pengacara. Dia merupakan hos untuk program remaja iaitu Teens World. Karier lakonannya pula bermula apabila dia membintangi filem Bicara Hati pada tahun 2004.

2. Pasangan serasi Fattah Amin
Lakonan kedua-dua pelakon ini bersama dengan Fattah Amin dikatakan serasi, jika tidak mana mungkin gandingan mereka menjadi fenomena.

Gandingan Neelofa dan Fattah dikatakan yang paling serasi sehingga peminat yang menonton SHMP berharap hubungan cinta yang dilihat di kaca televisyen menjadi kenyataan di luar set.

Selepas fenomena #lofattah ramai tidak yakin Fattah boleh digandingkan dengan mana-mana pelakon wanita lain.

Bagaimanapun sangkaan tersebut ternyata salah apabila gandingan Fatah dan Fazura mampu mencetus fenomena tersendiri.


3. Mempunyai ramai pengikut di laman sosial
Kedua-dua wanita ini sama cantik dan mereka mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial terutama Instagram. Mereka menggunakan Instagram untuk berkongsi hampir semua aktiviti harian bersama peminat.

Mereka turut berkongsi foto serta video ketika di set penggambaran. Disebabkan itu peminat 'senang' untuk terus setia menjadi pengikut mereka di laman sosial. Maka, tidak hairanlah kedua-duanya mempunyai lebih 2 juta pengikut di Instagram.

4. #lofattah Vs #fattzura
Sejak kedua-dua drama bersiri adaptasi novel ini menjadi popular, kelab peminat masing-masing bergabung untuk mewujudkan satu kelab peminat pasangan selebriti kegemaran mereka.

Terdahulu kelab peminat #lofattah telah diwujudkan bukan sahaja untuk drama siri SHMP tetapi juga kerana mereka sukakan gandingan Fattah dan Neelofa.

Malah kelab peminat itu bersatu sehingga kini walaupun drama bersiri itu sudah lama berakhir. Peminat juga mencipta banyak akaun Instagram khas untuk peminat drama tersebut.

Fenomena sama berlaku pada HSC dan impak serta kegilaannya juga sama, walaupun Fattah tidak lagi digandingkan dengan Neelofa.

Kelab peminat yang menggunakan hashtag #fattzura memuat naik semua foto dan video mesra Fattah dan Fazura.

5. Pemilik Fashion Line
Mesipun sibuk dengan aktiviti seni, namun tidak menghalang kedua-dua wanita jelita ini untuk mengusahakan perniagaan masing-masing. Malah jenama mereka dilihat telah menjadi pilihan penggemar fesyen.

Selepas berhijab, Neelofa tampil dengan satu jenama tudung iaitu Naelofar Hijab. Perniagaan yang diusahakan bersama keluarganya itu kini telah menjadi besar dan maju apabila pernah direkodkan mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.

Tidak ketinggalan juga dengan Fazura, minat yang mendalam terhadap fesyen telah membawanya untuk memiliki label sendiri, iaitu, House of Doll.

Kini jenama tersebut bukan sahaja memnampilkan pelbagai koleksi busana, malah tas tangan serta haruman.