Penyanyi Elizabeth Tan akui gementar berlakon di samping aktor popular Aaron Aziz menerusi drama terbaru, My Darling Inspektor Daniel yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzy berkata dia berasa teruja dan tidak menyangka diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama bersama Aaron Aziz.

“Bayangkan pertama kali berlakon dan diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama bersama pelakon hebat, siapa yang tidak gementar.

“Ketika penggambaran dilakukan, memang rasa gemuruh kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menjayakan sebuah drama.

“Berlakon dengan Aaron buat saya berdebar kerana dia adalah pelakon senior manakala saya pula kurang berpengalaman dan sangat baru dalam bidang lakonan.

“Risau dan khuatir juga jika saya lakukan kesilapan atau tidak dapat menghayati watak dengan baik tapi setakat ini semuanya okay,” katanya ketika ditemui pada majlis An Evening with Warner Music baru-baru ini.

Selain Lizzy, pelakon lain yang turut menjayakan drama 20 episod tersebut adalah Erra Fazira, Siti Elizad dan Dazrin.

Teks oleh: Mya Amri