Penyanyi Siti Nordiana menepis dakwaan sesetengah pihak yang melabelnya artis tamak.

Siti Nordiana Alias atau lebih mesra dipanggil Nana mengakui menerima apa sahaja tawaran yang diberikan tidak kira lakonan, nyanyian dan pengacaraan.

"Memang dahulu orang mengenali saya sebagai seorang penyanyi sahaja namun sekarang mengembangkan bakat sebagai pelakon dan pengacara.

"Saya mengambil peluang selepas menerima banyak tawaran selepas tamat program Gegar Vanganza kerana bukan mudah peluang seperti ini datang kepada saya dahulu.

"Jadi tiada istilah isu tamak kerana pada awalnya saya tidak yakin melakukan semua ini namun dorongan kawan-kawan, saya cabar diri untuk melakukannya.

"Bila orang sudah yakin dengan saya, takkan saya tidak yakin dengan diri sendiri?," katanya kepada Astro Gempak.

Nana ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, di Pusat Konvensyen Putrajaya, baru-baru ini.

Tambah Nana, fokus utamanya masih dalam bidang nyanyian namun dia akan memilih untuk menerima tawaran dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi