Pihak polis mengesahkan lima individu terkorban, termasuk tiga anggota polis dan dua pengebom bunuh diri di Terminal Kampung Melayu, Jakarta Timur, Indonesia pada jam 9 malam waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) kelmarin.

Menurut polis kedua-dua pengebom berkenaan ialah lelaki.

Jumlah korban itu lebih tinggi dibandingkan maklumat awal iaitu tiga orang terbunuh.

Menurut polis lagi beberapa yang lain termasuk pegawai polis cedera dan dibawa ke hospital berhampiran.

Satu lagi laporan media tempatan menyebut 10 orang cedera termasuk orang awam.

Dalam kejadian malam tadi dua letupan berlaku selang lima minit di terminal bas Kampung Melayu.

Laporan awal mengatakan dua ledakan yang berselang lima minit itu terjadi di tandas bangunan terminal.

Saksi kejadian melihat terdapat anggota tubuh yang berkecai di lokasi letupan, berdekatan kawasan parkir motosikal.

Jurucakap Polis Indonesia, Setyo Wasisto memberitahu lima orang awam turut cedera dalam insiden tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa dan ambulans bergegas ke lokasi kejadian untuk mengawal situasi, memandangkan ramai penduduk sekitar cuba mendekati kawasan itu untuk melihat keadaan tersebut.

Portal berita Detik News melaporkan, beberapa mangsa yang cedera sudah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketika ini, anggota keselamatan bersenjata juga dilihat mula membuat kawalan dan rondaan di sekitar lokasi kejadian.

Letupan itu antara lain menyebabkan terminal bas TransJakarta Kampung Melayu itu musnah teruk, dengan kaca yang berselerakan di sekitar radius ledakan.

Dalam laporan CNN Indonesia, yang memetik kata seorang saksi kejadian, ledakan itu didakwa dilakukan oleh seorang wanita.

Sumber: Astro Awani