Seorang pekerja wanita di sebuah kedai emas telah mencuri barang kemas setelah tiga jam dia mula bekerja.

Kejadian berlaku di Kulim, Kedah di mana wanita berusia 29 tahun itu telah mencuri barang kemas yang bernilai hampir RM50,000.

Menerusi video yang tular di media sosial, pekerja itu dilihat sedang menyusun barang kemas yang berada di dalam meja pameran.

Sambil menyusun, dia telah menyembunyikan beberapa jenis gelang emas di dalam lengan bajunya.

Perbuatan pekerja itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan video tersebut telah disebarkan oleh majikannya.

Menurut Khoo yang juga pemilik kedai emas, dia amat terkejut dan tidak menyangka pekerjanya akan mencuri pada hari pertama bekerja.

”Dia baru mula bekerja jam 4.00 petang dan mencuri pada jam 7.00 malam.

”Saya sedar tentang kecurian ini apabila seorang lagi pekerja melaporkan pekerja baru itu tiada di kedai dan barang kemas berkurangan.

”Bila saya periksa CCTV, baru saya sedar pekerja baru itu sebenarnya pencuri,” katanya kepada Harian Metro.

Khoo juga telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa sedang mencari pencuri tersebut.

Selain itu, Khoo juga menawarkan ganjaran sebanyak RM3,000 kepada mereka yang mempunyai maklumat tentang wanita tersebut.

Berikut kami kongsikan video wanita tersebut sedang mencuri yang tular di media sosial:



Olahan : Izzat Ridzwan
Video : FB Video Malaysia