Seorang pemburu maut dihempap seekor gajah yang ditembak sendiri oleh rakannya Jumaat lepas.

Menurut laporan CNN, Theunis Botha bersama kumpulannya sedang memburu di Good Luck Farm di Gwayi, Zimbabwe, apabila tiba-tiba dikepung sekumpulan gajah besar.

Mangsa dan kumpulannya kemudian diserang oleh beberapa ekor gajah betina.

Malang tidak berbau, seekor gajah melilit Theunis dengan belalai dan rakannya menembak gajah itu untuk menyelamatkan lelaki itu.

Namun, gajah yang ditembak rebah dan menghempap badan Theunis. Mangsa maut serta merta.



Theunis, 51, sebelum ini menubuhkan taman memburu safari Theunis Botha Big Game pada tahun 1973.

Mangsa merupakan teman rapat Scott van Zyl, 44, yang maut dibaham buaya tahun lalu ketika melakukan aktiviti sama.

Menurut jurucakap Taman Nasional Zimbabawe, Simukai Nyasha, aktiviti memburu yang dilakukan Theunis adalah halal.

Insiden yang menimpa Theunis menarik pelbagai reaksi netizen.

"Pemburu gajah maut dihempap gajah... Gajah itu hero saya," tulis @mamagotyou di Twitter.

"Karma serta merta," tulis @RitaPanahi.



Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Telegraph