Pelakon Que Haidar kini menceburi bidang nyanyian apabila muncul dengan sebuah single baharu berjudul Kisah Cinta.

Que Haidar atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 37, berkata lagu yang dinyanyikan itu sangat peribadi buatnya kerana ia mengisahkan kerinduannya kepada arwah bapanya.

"Sebenarnya ia mula dengan suka-suka sahaja. Saya harming dan saya rakam kemudian saya tulis liriknya sendiri.

"Ia memakan masa selama dua tahun dan lirik adalah ciptaan saya dan rakan, Ana pena.

"Selama dua tahun itu, saya dengar dan betulkan balik lagu dan lirik ini sehinggalah saya mulakan rakaman pada awal tahun ini.

"Pada awalnya saya hendak memilih penyanyi lain seperti Syamel atau Adira untuk menyanyikannya.

"Tetapi keluarga dan rakan-rakan yang memberi semangat untuk saya nyanyikan lagu itu apatah lagi saya penghayatan lagu itu ada pada diri saya.

"Lagu yang saya cipta ini sebenarnya mengisahkan orang yang saya sayang terutama arwah bapa saya yang pergi pada tahun 2001.

"Saya rindu semua tentang dia. Rindu akan kasih sayang serta belaian dia," katanya kepada Astro Gempak.

Que ditemui ketika pelancaran single dan koleksi baju melayu The Haidars oleh Qierahman di No Black Tie, semalam.

Sementara itu, Que memberitahu dia merancang untuk mempromosikan lagu tersebut di beberapa stesen radio.

"Lagu ini sekadar percubaan pertama saya dan saya belum merancang apa-apa lagi untuk kerjaya nyanyian saya selepas ini.

"Namun untuk lagu ini, saya akan cuba mempromosikan ke beberapa stesen radio dahulu.

"Bagi saya nyanyian adalah satu luahan rasa yang saya mahu sampaikan kepada pendengar.

"Justeru, jika saya hendak menyanyi sekalipun biarlah lagu itu ciptaan saya sendiri," katanya lagi.



Teks oleh: Syafiqah Jalal