Masing-masing ada cara tersendiri untuk melamar kekasih hati namun tindakan tidak masuk akal seorang lelaki dari Rusia ini benar-benar mengerikan.

Mana tidaknya, lelaki itu sanggup berpakat dengan seorang doktor untuk menyembunyikan sebentuk cincin yang dibeli untuk melamar kekasihnya dalam luka di perutnya sebelum menjahit luka tersebut.

Mentang-mentanglah kekasihnya seorang jururawat, lelaki itu dengan nekad melakukan tindakan tersebut yang disifatkannya unik.

Selepas menyembunyikan cincin lamaran itu, lelaki itu kemudiannya meminta kekasihnya untuk mencuci luka sambil memerhati tugas wanita tersebut.

Tanpa diduga, ketika sedang mencuci luka itu dia menemui sesuatu yang berkilat lantas mengeluarkannya.

Hal itu mengejutkan wanita itu apabila mendapati ia sebentuk cincin dan dia seraya menangis.

Tanpa berfikir panjang, dia menerima lamaran lelaki itu dan menyarungkan cincin tersebut ke jari selepas mencucinya.

Selepas sepotong video pasangan itu tersebar di media sosial, netizen rata-rata menyelar tindakan itu dan menyifatkan ia langsung tidak romantik.

"Semata-mata mahu buktikan cinta sampai sanggup sorok cincin dalam badan? Cinta ini sungguh pelik!" tulis seorang pengguna dengan nama samaran BGG.

"Ia tidak romantik langsung, orang bodoh saja buat," tulis Gasanalieva7362.

"Dia buktikan kepada gadis itu bahawa dia sanggup cederakan dirinya demi cinta dan ternyata berjaya memenangi hatinya. Jarang ada lelaki seperti ini," tulis Taisa-grozny.



Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Daily Mail