Pelakon dan pengacara Anis Al-Idrus mengakui tidak kisah mengenai status duda bakal suami, Aiman Rafzan, 35, kerana sikap matang jejaka itu.

Anis atau nama penuhnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 29, berkata, dia sememangnya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu segera kepada anak lelaki Aiman yang kini sudah berusia 10 tahun.

"Sejak awal pemulaan perkenalan kami, saya sudah tahu status Aiman sebagai duda dan mempunyai seorang anak.

"Jadi perkara itu tidak menjadi masalah kepada saya kerana anak dia juga sudah boleh menerima saya sebagai ibu.

"Saya menerima segala kekuranganya seperti mana dia menerima saya seadanya.
"Malah, saya juga sudah bersedia untuk bergelar ibu segera kerana dia berjaya buka hati saya untuk memikirkan tentang masa depan bersama,"katanya kepada Astro Gempak.

Anis berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman tarikh perkahwinan iaitu pada 7 Julai depan yang akan berlangsung di De'Laman Event Space, pada Selasa.

Aiman atau nama sebenarnya, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim telah mengikat tali pertunangan bersama Anis pada 24 Mac lalu dalam sebuah majlis sederhana yang dihadiri keluarga terdekat.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi