Pelakon Zulin Aziz akui mengamalkan aktiviti bertinju untuk mengekalkan bentuk badannya.

Menurut Zulin, dia seronok melakukan aktiviti berkenaan kerana membantu proses penurunan berat badannya.

“Kalau nak kurus sendiri dan hanya bergantung kepada diet sahaja bagi saya itu agak sukar. Maklumlah orang macam saya ini suka makan jadi cepat tertarik dengan makanan.

“Agak sukar untuk disiplin kan diri jadi saya buat keputusan untuk memulakan aktiviti tersebut sejak akhir September lalu.

“Saya akui bukan mudah untuk saya kuruskan badan, sebelum ini pun pernah cuba sejak beberapa tahun yang lalu namun tidak berjaya.

“Jujur katakan agak gembira selepas melihat penurunan berat badan dan secara tidak langsung bertinju ini memang sedikit sebanyak membantu saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai aktiviti tersebut, Zulin memberitahu dia setakat ini dia tidak pernah mengalami kecederaan teruk.

“Cedera berat itu tidak ada cuma hanya rasa lenguh-lenguh dan terseliuh saja. Lagipun saya bertinju di bawah pengawasan jurulatih peribadi saya.

“Seronok sebenarnya aktiviti ini, selain dapat kurangkan berat badan, bertinju juga merupakan salah satu cara untuk hilangkan tekanan,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri