Upin Ipin Jeng Jeng Jeng Dapat Tempahan Dari Negara Timur Tengah

2 November 2016. 3.32 PM
3,690
Hiburan
Upin Ipin Jeng Jeng Jeng Dapat Tempahan Dari Negara Timur Tengah
Selepas kejayaan memberangsangkan sebelum ini, filem animasi Upin Ipin Jeng Jeng Jeng sudah ditempah negara timur tengah.

Penerbit Datuk Norman Abdul Halim, berkata, perbincangan sedang dijalankan dengan pengedar dari sana.

"Kita sebenarnya telah ada tempahan di negara timur tengah untuk filem ini, namun itu semua masih dalam proses perbincangan bersama pengedar di sana.

"Insyallah kita akan mendapatkan lagi lebih banyak pengedaran di negara-negara lain agar industri filem animasi tempatan akan mendapat perhatian penonton luar negara sekali gus setaraf karya antarabangsa," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Norman lagi, filem industri animasi tempatan perlu dibawa ke tahap yang lebih tinggi supaya ia dapat diterima ramai.

Norman berkata, ini sejajar dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meletakkan harapan agar industri animasi tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Saya mengharapkan filem animasi Upin Ipin Jeng Jeng Jeng dapat diterima oleh semua peringkat usia dan lapisan masyarakat.

Norman berkata demikian ketika dijumpai pada majlis tayangan perdana filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng, di Cathay Cineplex eCurve Mutiara Damansara, pada Selasa.

Filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng akan ditayangkan pada 24 November depan.

Selain watak Upin & Ipin, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon seperti Puteri Balqis, Awie, Sarah Ali, Gambit dan Remy Ishak.

Filem ini merealisasikan impian kanak-kanak untuk melihat cerita Upin dan Upin dilakonkan di alam nyata.

Upin & Ipin Jeng Jeng adalah filem usahasama Les'Copaque Production dan KRU Studio untuk menaikkan kembali industri filem tempatan yang dilihat semakin merudum.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi








Artikel Berkaitan


Komen