Penyanyi Datuk Jamal Abdillah akhirnya menamatkan zaman solonya pada 1 April lalu, dengan seorang gadis berusia 23 tahun.

Penyanyi berusia 58 tahun itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti suri hatinya, termasuk perincian majlis pernikahan kali keempatnya itu.

Difahamkan, isteri penyanyi yang terkenal dengan lagu Azura itu berasal dari Kulim, Kedah.

Menurut sumber, majlis pernikahan mereka hanya dihadiri oleh keluarga terdekat masing-masing.

Jamal bagaimanapun mengesahkan mengenai berita pernikahannya itu, namun tidak mahu mengulas lebih lanjut kepada pihak media.

Sebelum ini Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Latif pada 1988, namun mereka bercerai lapan tahun kemudian dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Penyanyi itu kemudian menikahi Intan Noraina Mohd Yusof pada 2001 dan mereka dikurniakan anak lelaki, Osama Yamani, yang kini berumur 16 tahun.

Bagaimanapun perkahwinan mereka juga tidak berkekalan dan selepas itu dia bertemu jodoh buat kali ketiga dengan Fatimatuzahra Samat pada 2005.

Menerusi perkongsian hidup selama dua tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Zaki Yamani yang sudah mencecah usia 10 tahun.

Sementara itu, pengurus peribadinya, Ali, berkata penyanyi berkenaan bakal membuat pengumuman berhubung perkara terbabit.

Sumber: Berita Harian Online