Tiga tahun menghilang, juara Akademi Fantasia musim ke-8, Shahir Zawawi mengakui berat badannya naik mendadak kerana dia tidak muncul di kaca televisyen.

Sebelum bersedia untuk kembali ke bidang hiburan, Shahir berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram.

“Waktu saya berehat dari bidang seni selama tiga tahun untuk menguruskan perniagaan, berat saya pernah mencecah sehingga 90 kilogram.

“Berat badan saya naik kerana saya sudah lagi tidak muncul di kaca televisyen dan aktif dalam bidang nyanyian seperti dahulu.

“Saya akui, saya bergelut untuk menurunkan berat badan. Saya berusaha bersungguh-sungguh mengawal pemakanan dan bersenam,” Shahir kepada Astro Gempak.

Sedang berkawan rapat dengan aktres dan penyanyi jelita Erra Fazira, Shahir mengakui penyanyi lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu sering memberikan galakan untuknya dalam mengurangkan berat badan.

“Erra Fazira merupakan antara insan yang banyak memberikan galakan dan dorongan kepada saya sepanjang proses untuk mngurangkan berat badan.

“Alhamdulillah, berat badan saya kini sudah turun sebanyak 20 kilogram. Saya sudah bersedia untuk kembali ke arena seni dan saya berharap agar peminat dapat mendoakan yang baik-baik untuk saya,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal