Vokalis kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie mengakui tidak sabar untuk menjayakan persembahan kumpulan Wings pada bulan Ramadan tahun ini.

Menurut Awie, program tersebut sangat bermakna kerana ini merupakan kali pertama kumpulan Wings bekerjasama dengan hotel untuk menjayakan persembahan pada bulan Ramadan.

"Ini merupakan sejarah buat Wings, kerana sejak ditubuhkan 32 tahun lalu, kami tidak pernah mengadakan persembahan di hotel pada bulan Ramadan.

"Kami bukan sekadar kumpulan yang membawa lagu rock yang bising dan bingit, namun kami juga ingin membuktikan bahawa Wings juga merupakan band yang versatil.

"Ini merupakan percubaan pertama Wings & Superfriends dan kami berharap dapat mengubah persepsi orang mengenai Wings," katanya kepada Astro Gempak.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program raikan Ramadan Al Mubarak Bersama Wings And Superfriends, di Hotel Premiera Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Awie, persembahan yang akan diadakan itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu persembahan daripada Superfriends, Kudeen 3 Juara, Uchop Bukan Sekadar Rupa, Liza Hanim, Rody Kristal dan Eddie Def-Gab-C pada jam 6.30 petang.

Pada Segmen kedua, tetamu yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan Acapella dan acara kemuncak, Wings bersama Edrie Hashim dan bekas pemain gitar Wings, Syam akan beraksi secara akustik selama sejam.

Wings akan mengadakan persembahan istimewa di dewan utama, hotel berkenaan pada 17 Jun depan.

Harga yang ditawarkan bermula RM10,000 hingga RM5,000 satu meja dan meja individu bernilai RM 150 seorang.

Untuk keterangan lanjut mengenai program raikan Ramadan Al Mubarak Bersama Wings And Superfriends, boleh layari www.sayap2wings.com atau premiera.com.my.


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi