Pelakon dan penyanyi Janna Nick mengakui tidak mahu terburu-buru untuk mengeluarkan single baharu meskipun single pertamanya, Mungkin Saja mendapat tempat di hati peminat.

Menurut Janna, dia ingin menghasilkan single yang berkualiti dan tidak mahu lagu baharu itu mendapat kritikan daripada orang ramai.

"Memang tidak dinafikan selepas single pertama mendapat sambutan ramai juga yang menyuruh saya keluarkan single kedua.

"Tapi saya tak nak sebab orang suruh keluarkan single semata-mata populariti.

"Untuk single kedua ini, saya mahu cari material yang benar-benar berkualiti kerana ingin semua orang berpuas hati dengan hasilnya nanti.

"Saya juga merancang untuk mengeluarkan single kedua ini selepas raya nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Janna ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, di Pusat Konvensyen Putrajaya, baru-baru ini.

Tambah Janna, dia berharap agar single kedua itu akan mendapat sambutan daripada peminat.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi