Penyanyi Datuk Nassier Wahab mengakui tidak mempunyai rancangan untuk tampil dengan single terbaharu dalam masa terdekat ini.

Menurut Nassier, 55, pada usianya sekarang dia harus sedar bukan waktunya untuk dia perlu membuat kerja-kerja promosi ke radio dan akhbar.

"Saya tidak merancang untuk keluar dengan single baharu kerana biarlah penyanyi muda yang sedang meningkat naik yang melakukannya.

"Mungkin ia bukan masa yang sesuai untuk saya tampil dengan single baharu kerana saya merasakan diri ini sudah cukup tua untuk buat semua itu.

"Banyak perkara bermain di fikiran saya kerana pada usia sekarang, saya seharusnya perlu menuai hasil bukannya masih membajak dan membaja.

"saya juga tidak mempunyai orang yang boleh membantu menguruskan urusan promosi membuatkan saya sendiri ambil keputusan untuk simpan sahaja hasrat untuk keluarkan single baharu," katanya kepada Astro Gempak.

Nassier ditemui pada majlis memperkenalkan duta Syarikat DBI Technology Sdn.Bhd, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Nassier, dia bersyukur meskipun tidak mempunyai single baharu namun masih menerima banyak undangan untuk menyanyi di majlis-majlis tertutup yang dianjurkan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi