Pengacara dan bapa kepada Lara Alana, Awal Ashaari menyatakan bahawa anaknya tidak akan dapat semua perkara yang diminta.

Awal atau nama penuhnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 36, menegaskan bahawa dia dan isteri tidak akan berikan semua benda yang diminta anaknya.

“Kami sebenarnya risau apabila orang di luar sana sering manjakan Lara.

”Jika di rumah, kami akan lebih tegas dan berhati-hati dalam mengikut kehendak Lara.

”Saya nak didik dia, jika satu hari nanti kami tak mampu nak berikan apa yang dia minta, dia takkan kecewa.

”Disebabkan perhatian yang diberikan orang ramai dan peminat, Lara kini sering menerima hadiah-hadiah yang kami sendiri tak mampu nak beli.

”Saya kira itu rezeki Lara Alana dan saya tak dapat nak halang.

”Dan dari situ, kami akan cuba didik Lara untuk jadi seperti kanak-kanak lain yang tidak hanya mendapat layanan istimewa sepanjang masa,” jelas Awal kepada Astro Gempak.

Apabila ditanya mengenai layanan istimewa yang diberikan kepada Lara Alana, Scha berkata mereka tidak mahu perkara tersebut berterusan.

”Bila dah dikenali ramai dan menjadi public figure, memang semua orang akan pandang dan nak bergambar dengan dia.

”Saya tidak akan menyekat perkara-perkara seperti itu kerana saya nak Lara jadi seperti budak biasa dan bukan sombong seperti diva.

”Jika dia nakal di sekolah, saya sendiri dah maklumkan kepada cikgu untuk tegur dan marah dia seperti pelajar lain.

Awal, Scha dan Lara Alana ditemui di majlis koleksi Aidilfitri "Jakel Barulah Raya 2017” di Jakel Mall semalam (Khamis).

Awal sekeluarga telah dilantik menjadi duta bagi koleksi Aidilfitri Jakel 2017 untuk tahun kedua.

Teks oleh : Izzat Ridzwan