Pelakon Juliana Evans mengakui perkahwinan bersama Tengku Sharuffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj yang juga kerabat diraja Johor dan Selangor tidak mengubah perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.

Juliana atau nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans, 27, berkata, dia bersyukur kerana suami serta keluarga mertua memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.

"Saya akan meneruskan bidang lakonan dan pengacaraan seperti biasa.

"Alhamdulillah kerana suami dan keluarga mertua saya tidak pernah menghalang untuk saya berada dalam industri.

"Malah mereka sangat menyokong dengan apa yang saya lakukan sekarang meskipun telah berkahwin.

"Namun, saya harus bijak dalam membahagikan masa diantara kerjaya dan masa untuk bersama dengan suami kerana itu merupakan tanggungjawab utama saya,"katanya kepada Astro Gempak.

Juliana ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, di Pusat Konvensyen Putrajaya, baru-baru ini.

Tambah Juliana, dia bakal keluar dengan sebuah filem berjudul Bella & Jemie tidak lama lagi.

Juliana dan Tengku Sharuffuddin diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup pada 30 April lalu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi