Putri Balqis mengakui tidak pernah memilih watak yang diberikan kepadanya sepanjang bergelar pelakon.

Menurut Balqis, dia tidak terlalu mementingkan naskah yang diterima, namun bersyukur sering mendapat watak yang bagus.

"Sejujurnya saya tidak begitu memilih watak yang diberikan dan akan terima sahaja apa jua tawaran yang dapat.

"Namun, semua itu bergantung kepada jadual saya dan tawaran yang diberikan terlebih dahulu.

"Kebanyakan tawaran yang datang adalah watak-watak berat yang bermain dengan emosi.

"Saya juga akan menerima jika diberi watak lain yang ringan atau bukan watak utama dalam sesebuah filem mahupun drama," katanya kepada Astro Gempak.

Balqis ditemui pada majlis pelancaran poster filem Makrifat Cinta yang diadakan di Pitching Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas mengenai Makrifat Cinta, Balqis berkata, filem tersebut mencabar kredibilitinya sebagai pelakon kerana perlu melakukan aktiviti lasak.

"Saya bergandingan dengan Syamsul Yusof dan watak yang dibawakan kali ini agak berat kerana saya harus bermain dengan emosi dan dalam masa yang sama melakukan aktiviti lasak," katanya.

Filem Makrifat Cinta, arahan Kamal G dijangka ditayangkan pada Ogos atau September tahun ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi