Kumpulan nasyid UNIC menganggap tugasan untuk menyanyikan lagu sendiri di konsert akhir Gema Gegar Vaganza (GGV) sebagai satu cabaran yang sukar.

Bakal menyanyikan lagu Ainul Mardhiah, UNIC bakal tampil dengan satu cara yang baru untuk mendendangkan lagu tersebut.

"Alhamdulillah, selepas hampir enam minggu bertarung di pentas GGV, kami berjaya menempatkan diri ke pentas akhir.

"Tugasan minggu akhir juga memerlukan kami untuk menyanyikan lagu sendiri yang berjudul Ainul Mardhiah.

"Sejujurnya, sukar untuk kami sampaikan lagu tersebut kerana lagu itu sudah mesra di telinga pendengar. Kami perlu melakukan pembaharuan terhadap cara kami membawakan lagu Ainul Mardhiah," kata Najdi mewakili UNIC.

Turut dianggotai oleh Bazli dan Fakhrul, UNIC mahu keluar dari zon selesa dan memberikan kelainan di minggu akhir.

"Kami mahu menampilkan kelainan. Lagu ini sering didengari. Kami juga sering menyanyikan lagu ini di setiap persembahan jika ada permintaan.

"Kami harus datang dengan persembahan berbeza dalam menyuntik kelainan terhadap lagu tersebut," kata Bazli pula.

Konsert akhir Gema Gegar Vaganza akan bersiaran pada Ahad, 21 Mei, jam 9.00 malam di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal