Pelakon Putri Najuwa mengakui akan menamatkan zaman solo bersama tunangnya, Muhammad Zaid, 34, pada penghujung September atau awal Oktober tahun ini.

Puteri Najuwa atau nama sebenarnya Tengku Putri Najuwa, 32, berkata setakat ini majlis persiapan perkahwinannya sudah 70% siap, cuma lokasi dan busana pernikahan belum ada.

“Setakat ini, untuk majlis resepsi dan persiapan lain sudah selesai. Sekarang kami masih belum membuat keputusan untuk mengadakan majlis akad nikah di rumah atau lokasi lain. Begitu juga dengan baju nikah, juga belum ada.

“Rasanya masih sempat lagi kerana kami masih mempunyai empat bulan lagi sebelum majlis. Saya kalau boleh mahu mempercepatkan tarikh perkahwinan kami supaya semuanya cepat selesai.

“Selain lokasi dan busana nikah, kami juga masih mencari tarikh yang sesuai iaitu pada akhir bulan September atau awal Oktober, sebab tunang saya mahu mengadakan majlis tersebut selepas tarikh lahirnya,” katanya ketika ditemui Astro Gempak di Restoran D’Tandoor, Ayer 8, Putrajaya.

Puteri Najuwa dan Zaid mengikat tali pertunangan pada 12 November 2016 selepas lapan tahun berkawan.

Menurut Putri Najuwa atau Wawa, Zaid lelaki pertama yang berjaya membuatkan dia jatuh cinta.

“Bukan sekadar kekasih, tetapi Zaid adalah kawan baik yang sentiasa memahami susah senang saya selama kami berkawan sehinggalah bertunang.

“Orang kata, kalau nak cari lelaki carilah yang menyayangi kita lebih daripada kita sayang pada dia...dan Zaid memiliki ciri-ciri tersebut,” ujarnya yang sedang menunggu tayangan filem pertama berjudul Dubai My Love yang akan menemui penonton pada September ini.

Filem Dubai My Love yang membawakan kisah penuh romantik, kekecewaan dan peluang kedua ini adalah arahan pengarah Aidilfitri Mohamed Yunos dan lakon layarnya bersama Fairul Nizam Ablah.

Penerbit eksekutifnya, Wan Sariah Wan Jaafar, mempertaruhkan gandingan muka baharu untuk filem ini.

Selain Putri Najuwa pelakon lain yang akan membintangi filem Dubai My Love adalah Erwin Dawson, Hanna Aqeela, Ben Ali dan Fazreen Fazera.