Bapa Penyanyi Kumpulan Backstreet Boys Meninggal Dunia

Bapa kepada salah seorang ahli kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter dan penyanyi Aaron Carter, telah meninggal dunia pada malam Selasa lalu.

Bob Carter, 65, telah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya, di Florida akibat serangan jantung.

Menurut portal hibutan TMZ, Bob dikatakan telah mengadu sakit dan berasa tidak selesa di bahagian dada sebelum tidur pada malam tersebut.

Dia kemudian tidak sedarkan diri apabila dikejutkan pada keesokan harinya.

Ketika kejadian, kedua Nick dan Aaron sedang melakukan persembahan di Los Angeles.

Mereka kemudian bergegas pulang ke Florida sebaik sahaja menerima berita tersebut.

Sebelum sakit dan tidak selesa pada bahagian dada, Bob telah melakukan kerja berat dan terdedah kepada cuaca panas beberapa hari sebelum kematiannya.

Nick dan Aaron yang berkongsi berita kematian bapa mereka di media sosial amat terkejut dan sedih atas kehilangan Bob secara mengejut.

“Hati saya hancur. Kami berasa sangat sedih atas kehilanganmu ayah.

”Bagi kami kau bukanlah manusia biasa, tetapi kau adalah ’superhero’,” kata Aaron di Instagram yang masih tidak dapat menerima pemergian bapanya itu.

Selain itu, Nick juga telah meminta kepada orang ramai dan peminat agar memberikan sedikit privasi kepada mereka buat waktu ini.

Sumber : Dailymail, TMZ.
Olahan : Izzat Ridzwan