Setelah sekian lama, Produser Datuk Ziela Jalil kembali menyanyi di Majlis Makan Malam Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah Bersama Rakyat di Kuala Tahan, Pahang, Isnin lalu.

"Terus-terang saya agak gementar hendak menyanyi setelah sekian lama.

"Malu juga sampai ada yang sampai saya terlupa lirik kerana terlalu gementar.



"Tapi apabila melihat penduduk yang hadir memeriahkan acara malam itu buat saya terharu.

"Mereka memang sporting dan happening siap menyanyi bersama-sama saya.

"Saya menyanyi sekadar untuk menghiburkan mereka sahaja pada malam itu," katanya kepada Astro Gempak.



Pada majlis makan malam tersebut hampir ke semua artis yang menyertai Kembara Amal Kasih telah menyampaikan beberapa buah lagu buat penduduk yang hadir kira-kira 2000 orang.

Antara artis yang membuat persembahan pada malam itu adalah
Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Khatijah Ibrahim, Maya Matahari, Salwa Abdul Rahman dan Datuk Seri Shah Rezza.


Bercerita lanjut mengenai program Kembara Amal Kasih, Ziela bangga kerana program itu dapat dijayakan seperti yang dirancang.

"Kami mula kembara pada Isnin pagi lalu dengan menziarahi enam rumah Asnaf di daerah Jerantut.

"Selepas lawatan dan pemberian sumbangan kami menyertai sukan rakayat bersama penduduk di Kuala Tahan.

"Ia amat menyeronokkan kerana bukan mudah untuk melihat artis menyertai sukan rakyat sebegini.

"Seterusnya malam semua artis membuat persembahan dengan disaksikan ramai penduduk Kuala Tahan yang bersama kami.

"Saya harap di masa akan datang kita semua dapat menyertai program sebegini lagi," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal