Pelakon Aqasha menegaskan hubungannya dengan isteri, Noor Baizura Mohd Sabri masih baik dan tidak terkesan dengan kontroversi yang membabitkan namanya dengan pelakon Rita Rudaini.

"Hubungan saya dan isteri masih baik dan rumah tangga kami tiada masalah.

"Jika timbul sebarang spekulasi sebagai selebriti saya tidak boleh buat apa-apa.

"Jadi buat apa saya susahkan diri untuk memikirkan hal-hal sedemikian. Bukannya mendatangkan faedah pun," katanya yang ditemui pada majlis sidang media program ramadan TV3 & TV9 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur hari ini.

Pelakon filem Embun itu menjelaskan dia tidak terkesan dengan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

"Saya tangani dakwaan ini dengan profesional dan saya tidak boleh menjawab dakwaan yang dilemparkan kepada saya.

"Sebaliknya individu yang membuat dakwaan itu yang sepatutnya menjawab," tambahnya.

Menjawab tindakan isterinya memuat naik beberapa bukti di media sosial, tegas Aqasha dia enggan memanjangkan isu tersebut.

"Orang akan beranggapan perkara itu betul, sebagai seorang lelaki saya tidak gemar mendedahkan kisah peribadi kepada khalayak.

"Sebaliknya tindakan wanita tidak serupa kerana dikawal emosi.

"Saya tahu apa yang saya buat dan mengendalikan situasi ini sebaik mungkin. Terpulang apa yang orang mahu fikir," ulasnya.

Teks oleh: Amri Hassan