Korea Utara dikaitkan dengan serangan siber global WannaCry 'ransomeware'.

Menurut Symantec dan Kaspersky Lab, kumpulan penyelidik menemui beberapa kod versi awal perisian WannaCry dalam progam yang pernah digunakan kumpulan Lazarus dalam operasi penggodam Korea Utara.

"Ini petunjuk terbaik yang kami lihat setakat ini sama seperti di dalam WannaCry asal," kata penyelidik Kaspersky Lab, Kurt Baumgartner.

Fakta dari penyelidik Google, Neel Mehta turut mengaitkan aktiviti Lazarus dalam penggodaman WannaCry.


Lazarus pernah menggodam syarikat Sony Pictures pada tahun 2014 dan mencuri jutaan dolar dari bank Bangladesh pada tahun 2016.

Memetik laporan Reuters, masih terlalu awal untuk mengaitkan negara itu dengan serangan berkenaan.

Sejak Jumaat lalu, sebanyak 300,000 komputer di 150 buah negara telah terjejas akibat serangan siber berkenaan.

Dua buah syarikat di Malaysia turut terjejas akibat serangan virus berkenaan.

Lapor syarikat perkhidmatan keselamatan IT LGMS, kes pertama di Malaysia membabitkan seorang pengarah syarikat yang mana komputer bimbit pelanggannya diserang virus berkenaan.

Pengasas LGMS, CF Fong berkata, data dalam komputer riba itu terpaksa dipadamkan kerana individu berkenaan tidak mahu membayar AS$300 (RM1,300).

"Syarikat itu tidak mempunyai sebarang fail sokongan dan mungkin akan membayar wang berkenaan," katanya.

Ransomware bukanlah sesuatu yang baharu tetapi WannaCry telah menyebabkan kekecohan di seluruh dunia kerana ia merebak dengan pantas.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: NPR, mStar