Vokalis kumpulan Caliph Busker, Azmi Saat mendedahkan dirinya masih rasa gementar beraksi secara solo di pentas Gema Gegar Vaganza (GGV).

Berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, Azmi tidak memikirkan soal kalah atau menang.

"Sejujurnya, saya rasa sangat gemuruh ketika beraksi di pentas GGV. Bermula minggu pertama sehingga minggu separuh akhir, rasa itu masih sama.

"Sebelum ini saya sering beraksi secara berkumpulan bersama anggota Caliph Busker yang lain. Jadi perasaan itu berbeza berbanding membuat persembahan secara solo.

"Berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir sudah membuatkan saya rasa sangat bersyukur. Menang atau kalah bukan satu keutamaan.

"Apa yang penting, saya menghiburkan orang ramai dan dapat menyampaikan mesej disebalik lagu yang saya bawakan setiap minggu," kata Azmi kepada Astro Gempak.

Merasakan semua bintang yang melayakkan diri ke peringkat akhir sebagai pesaing, Azmi mahu fokus dalam memberikan persembahan terbaik.

"Semuanya hebat-hebat belaka. Saban minggu, persembahan yang mereka sampaikan sangat kreatif dan menarik.

"Saya mahu memberikan keutamaan terhadap persembahan penentuan ini agar saya dapat memberikan nyanyian yang terbaik untuk semua pihak yang menyokong," katanya lagi.

Konsert akhir Gema Gegar Vaganza akan bersiaran pada Ahad, 21 Mei, jam 9.00 malam di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal