Seorang insan yang bergelar guru bukanlah hanya perlu dirai dan disayangi pada hari atau tarikh tertentu sahaja.

Tetapi, sebagai seorang murid tidak kira usia, kita seharusnya memberi layanan dan rasa hormat yang tinggi kepada individu yang bergelar guru.

Bukan sekadar memberi hadiah dan barangan istimewa kepada mereka, tetapi anda juga boleh melakukan perkara-perkara seperti ini yang semestinya lebih bermakna buat guru anda:

1. Sentiasa Menghormati Mereka

Sering kali kita dengar tentang kes murid memukul dan bersikap kurang sopan kepada guru. Lebih-lebih lagi pelajar di peringkat sekolah menengah yang semakin dewasa. Mereka ini bukan sahaja berani meninggikan suara, malah ada yang sanggup memukul guru sehingga menyebabkan kecederaan. Alangkah baiknya sekiranya kita melayan guru seperti ibu bapa kita yang sentiasa ingin melihat anak muridnya berjaya suatu hari nanti.

2. Bantulah Mereka

Sebagai seorang murid, adalah menjadi kewajipan untuk membantu guru anda ketika mereka memerlukan bantuan. Mereka tidak akan meminta wang ringgit daripada anda, Cuma yang diperlukan sekadar pertolongan kecil seperti mengangkat barang atau buku-buku yang diperlukan, mengemas bilik darjah dan sebagainya. Percayalah, pertolongan kecil seperti inilah yang akan membuatkan guru tersebut sayang kepada anda.

3. Menyiapkan Kerja Sekolah

Tidak ada guru yang ingin melihat anak didiknya gagal. Justeru, sebab itulah latihan diberi untuk anda lebih mahir dalam sesuatu subjek atau mata pelajaran. Mereka bukan sengaja ingin memberi kerja lebih untuk dibawa pulang ke rumah, sebaliknya ingin membantu anda agar tidak lupa dan bertambah mahir tentang sesuatu topik tersebut. Dengan menyiapkan kerja yang diberi, ia pasti akan membuatkan para guru bangga dengan anda.

4. Menghadirkan Diri Ke Kelas

Tahukah anda, setiap guru akan membuat persediaan awal sebelum mereka masuk ke kelas dan mengajar. Persediaan tersebut ada kalanya memakan masa sehingga lewat malam. Alangkah gembiranya hati guru apabila melihat kedatangan penuh murid-muridnya ke kelas dan bersemangat untuk belajar. Perkara sebegini mungkin dianggap remeh, tetapi amat bermakna buat guru-guru anda.

Teks Oleh : Izzat Ridzwan