Penyanyi Kelahiran Akademi Fantasia (AF2015), Sufi meramalkan Azmi sebagai juara Rockanova.

Sufi berkata demikian selepas melihat sendiri persembahan peserta lelaki tunggal program berkenaan minggu lalu.

“Memandangkan saya juga lahir menerusi program realiti, saya tahu bukan mudah bila dah masuk ke peringkat akhir. Tekanan yang dilalui juga semakin bertambah.

“Saya rasa kesemua peserta Rockanova hebat-hebat baik lelaki mahupun perempuan. Tetapi kalau ditanya mengenai pendapat saya tentang juara, rasanya Azmi dan Zarith berkemungkinan menggondol gelaran tersebut.

“Selepas melihat persembahan mereka saya rasa suara Azmi sangat power, serak-serak basah bersesuaian dengan lagu rock dan personalitinya juga disukai ramai.

“Zarith pula seorang yang bertenaga, bersuara lantang, dan wataknya pula ketika membuat persembahan memang sangat berlainan.

“Sebenarnya setiap peserta mempunyai kelebihan mereka sendiri dan saya harap mereka akan memberikan persembahan terbaik untuk final nanti,” katanya kepada Astro Gempak.

Rockanova diterajui oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad selaku pengacara dan menampilkan dua juri tetap, Datuk Awie dan Edry Abd Halim.

Manakala pelakon dan penyanyi Ziana Zain hadir sebagai juri jemputan.

Rockanova bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB setiap Rabu.

Program tersebut boleh ditonton setiap Rabu, jam 9.30 malam menerusi Saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Manakala diari harian Rockanova, Rock On boleh disaksikan Isnin dan Selasa, jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda klik link ini ----> (ROCKANOVA).

Teks oleh: Mya Amri