Kumpulan nasyid Hijjaz tidak menganggap usia penglibatan mereka dalam bidang nyanyian menjadi satu kelebihan di pentas akhir Gema Gegar Vaganza (GGV).

Dianggotai oleh Munif Ahmad, 43, Isman Nadim Isam, 48, Mohd Faizal Osman, 44 dan
Muhammad Ariffin Ahmad, 38, Hijjaz bakal menyanyikan lagu mereka sendiri, Fantamorgana di pentas akhir.

"Usia penglibatan kami yang lebih senior berbanding kumpulan lain bukan menjadi satu kelebihan.

"Semua kumpulan berusaha dengan kuat dan memberikan persembahan kreatif saban minggu.

"Kami tetap akan berusaha sehabis baik untuk memberikan persembahan memukau di pentas akhir," kata Ariffin mewakili Hijjaz.

Turut terpalit dengan kontroversi, Hijjaz mempunyai misi tersendiri dalam memartabatkan kumpulan nasyid.

"Kami ada matlamat tersendiri. Penglibatan kami dalam GGV adalah untuk memartabatkan irama nasyid. Sudah lama irama nasyid tidak mendapat perhatian ramai seperti apa yang dipaparkan dalam GGV.

"Memang wujud kontroversi, tetapi jika diperhatikan, lebih ramai yang memberi sokongan berbanding mereka yang memberi kutukan.

"Kami berharap agar mereka yang menonton GGV mengambil mesej positif menerusi setiap persembahan yang dipaparkan," katanya lagi.

Konsert akhir Gema Gegar Vaganza akan bersiaran pada Ahad, 21 Mei, jam 9.00 malam di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal