Pelakon Mira Filzah mengakui selesa berkawan dengan pelakon dan pengacara Zizan Razak.

"Saya suka dengan personaliti Zizan. Dia merupakan seorang lelaki yang baik dan kelakar. Mungkin kerana dia merupakan seorang pelawak, saya sangat selesa dan menyenangi sifatnya yang mesra.

"Namun begitu, saya dan Zizan hanya berkawan sahaja. Kami hanya rapat sebagai sahabat," kata Mira kepada Astro Gempak ketika ditemui di Simfoni Ariani Lebaran 2017 di KL Convention Centre pada Isnin.

Tambah Mira, dia enggan gosip berkenaan kisah percintaan dan peribadi mengganggu fokusnya dalam kerjaya.

"Saya tidak mahu cerita berkenaan cinta atau berkaitan dengan peribadi saya terlalu diperkatakan. Buat masa ini, biarlah saya memberikan sepenuh fokus terhadap kerjaya.

"Saya mahu mengukuhkan nama sebagai pengacara, pelakon serta ahli perniagaan. Umur saya baru sahaja 24 tahun, masih muda untuk memikirkan soal cinta dan perkahwinan.

"Jodoh, rezeki, ajal dan maut semuanya merupakan perancangan Allah, Namun begitu, saya tidak menolak jika jodoh datang awal," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal