Pelakon Putri Balqis mengakui memperlahankan kerjaya seninya kerana ingin meluangkan masanya bersama keluarga.

Menurut Balqis, berehat selama enam bulan untuk bercuti bersama keluarga.

"Sejak saya mula berlakon, masa untuk bersama ahli keluarga sangat terhad dan saya banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk berehat daripada menerima apa-apa tawaran selama enam bulan supaya dapat bersama-sama keluarga saya.

"Biarlah saya dapat membahagikan masa di antara kerjaya dengan keluarga.

"Saya juga mempunyai ahli keluarga di kampung dan mereka sering bertanya bila saya hendak pulang," katanya kepada Astro Gempak.

Balqis ditemui pada majlis pelancaran poster filem Makrifat Cinta yang diadakan di Pitching Centre, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Mengulas mengenai Makrifat Cinta, Balqis berkata, filem tersebut mencabar kredibilitinya sebagai pelakon kerana perlu melakukan aktiviti lasak.

"Saya bergandingan dengan Syamsul Yusof dan watak yang dibawakan kali ini agak berat kerana saya harus bermain dengan emosi dan dalam masa yang sama melakukan aktiviti lasak," katanya.

Filem Makrifat Cinta, arahan Kamal G dijangka ditayangkan pada Ogos atau September tahun ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi