Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat akur dengan ketetapan rezeki yang tidak berpihak kepadanya di malam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang berlangsung Ahad lalu.

"Sudah bukan rezeki saya untuk membawa pulang sebarang trofi di malam ABPBH. Saya menerima keputusan dengan berlapang dada dan mereka yang menerima trofi ABPBH layak menang.

"Terima kasih kepada pengundi dan peminat saya, AJScreamer yang tak berhenti menyokong kerjaya seni saya selama ini. Saya akan berusaha dengan lebih kuat lagi selepas ini dalam memberikan kualiti kerja yang lebih bagus untuk semua peminat," kata Ayda kepada Astro Gempak.

Tambah Ayda, tewas di malam ABPBH juga tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam bidang nyanyian dan lakonan.

"Bila saya menang anugerah, ada yang mempertikaikan. Jika saya tidak membawa pulang sebarang trofi, ada juga yang mempersoalkan.

"Bagi saya, menang kalah adalah adat pertandingan. Saya tidak harus rasa ralat. Jika saya rasa begitu, saya seperti mempersoalkan ketentuan dan aturan Tuhan.

"Saya tidak patah semangat dan mahu berusaha dengan lebih kuat lagi," katanya ketika ditemui di Simfoni Ariani Lebaran 2017 di KL Convention Centre pada Isnin.

Teks oleh: Kamaruddin Razal